Seminar yang bertemakan "membina masyarakat muslim" ini telah dianjurkan oleh One Heart Creative Solutions dan dibarisi oleh ahli panel yang berpengalaman dalam bidang dakwah masing-masing seperti Salim A Fillah, Ust Ridhauddin Salleh, Tn Shamsuddin Kadir, dan Ust Ebit Lew. Pelbagai topik dikupas dan dibincangkan yang berkait rapat dengan prinsip kekeluargaan yang dianjurkan Islam. Berikut merupakan pengajaran-pengajaran penting yang saya bawa balik daripada seminar 2 hari tersebut:
1. Cinta pertama adalah kepada Allah dan Rasulullah SAW
Melafazkan '
Aku terima nikahnya' merupakan satu titik permulaan kepada kehidupan baru yang digambarkan lebih bahagia, bermakna dan berkat. Sering kali rumahtangga dibina atas niat "Nak mendapatkan keredhaanNya, mengikuti sunnah Rasullullah, dan mencapai kebahagiaan". Namun adakah si bakal suami dan isteri itu betul-betul faham dengan apa yang dimaksudkan niatnya itu. Bagaimana sebuah rumahtangga itu akan kekal bahagia serta mendapat keredhaanNya?
Prinsip utama yang harus difahami dan diamalkan dalam sebuah rumahtangga adalah:
"CINTA PERTAMA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL, CINTA KEDUA ADALAH SESAMA MANUSIA"
Apakah yang dimaksudkan dengan prinsip ini? Salah seorang ustaz berkongsi perspektif beliau terhadap konsep ini; "aku sanggup berpisah dengan isteriku, tetapi aku tak akan berpisah dengan Allah dan Rasul-ku". Ringkas tetapi maksudnya cukup mendalam. Diceritakan bahawa Abu Bakar pernah menyuruh anaknya Abdullah untuk menceraikan isterinya setelah Abu Bakar melihat anaknya itu tertinggal solat subuh berjemaah di masjid beberapa kali setelah berkahwin.
Apabila si suami dan isteri sama-sama mempunyai prinsip, niat serta objektif yang berlandaskan agama (ataupun secara umumnya objektif yang sama), secara tak langsung tindakan mereka akan saling melengkapi dan menyokong antara satu sama yang lain. Secara fitrahnya, lelaki dan perempuan mempunyai keperluan zahir dan batin yang cukup berbeza. Seandainya si suami dan isteri melangkah ke alam perkahwinan dengan niat untuk memenuhi keperluan peribadi masing-masing, maka niat mereka akan berlainan. Perkahwinan itu tiada titik pertemuan yang menjadi pendorong kepada kedua-dua suami dan isteri untuk saling memahami, melengkapi dan memberi sokongan untuk mengecapi kebahagiaan bersama. Sukar bagi mereka untuk bahagia sekiranya definisi 'bahagia' mereka pun sudah berbeza. Jadi, objektif/niat itu cukup penting. Pastikan niat kita adalah untuk Allah dan Rasul sebagai yang paling utama, Isteri/suami, anak2 dan keluarga pula yang ke-2.
2. Kahwin untuk 'invest' pahala sampai akhirat
Antara amalan yang tidak terputus pahalanya sehingga kita mati adalah doa anak yang soleh. Anak merupakan suatu investment pahala sampai akhirat. Sama seperti mana-mana pelaburan, untung dan rugi adalah lumrahnya. Investment ni tak semuanya menguntungkan, ada juga yang merugikan. Di akhirat nanti, ada anak yang mampu bawa ibu bapanya masuk ke syurga bersamanya, tapi ada juga anak yang mampu menarik ibu bapanya daripada menjadi penghuni syurga kepada menjadi penghuni neraka bersamanya. Anak begini akan berkata di hadapan Allah kelak,"Ya Allah, sesungguhnya aku menjadi penghuni neraka kerana ibu bapa aku tidak mengajar aku, tarik mereka ke neraka bersamaku".
Membesarkan anak itu bukan sekadar memberi makan, minum, pakaian dan perlindungan, malahan ia merupakan tanggungjawab yang lebih besar dari itu kerana ibu bapa lah yang bakal membentuk baik/buruk akhlak anaknya. Ustaz Ridhauddin telah kongsikan beberapa tips 'nature' and 'nurture' untuk membesarkan anak:
i. Sebelum kita mempersiapkan anak, kita sebagai ibu bapa (atau bakal ibu bapa) harus mempersiapkan diri kita terlebih dahulu. Ini yang menentukan 'nature' anak kita kelak. Jadi ibu bapa, latih lah diri supaya menjadi seorang hafiz/hafizah kalau kita mengharapkan anak kita nanti untuk menjadi hafiz/hafizah. Sekurang-kurangnya jadikan Quran itu amalan harian tanpa tinggal.
ii. 'Nurture' anak dalam suasana yang menggalakkan:
- Kurangkan jadi diktator (memberi arahan) dalam rumah, tetapi lebihkan menjadi demonstrator (mengajak/mengalakkan).
- Jangan asingkan anak pada waktu solat. Biarkan anak berada dekat dengan kita ketika solat supaya mereka belajar tentang solat. Anak, terutama yang masih kecil, belajar melalui penglihatan.
- Ikatkan atau kaitkan setiap minat mereka kepada syurga/neraka. Contoh: Anak minat Boboi Boy, kita ajar nanti di syurga pun Boboi Boy ada. Anak suka mainan kereta, kita ajar nanti di syurga ada lagi banyak mainan kereta. Cuba perkenalkan konsep syurga dan neraka kepada anak-anak di usia yang masih kecil.
3. Tips-tips dan pesanan praktikal
Saya banyak pelajari tips-tips praktikal, yang mana panel-panel penceramah sampaikan sebagai perkara 'sampingan' dalam sesi ceramah. Namun bagi saya, tips-tips itu mudah difahami, diingati dan dipraktikkan. Antara tips dan pesanan penceramah yang saya dapat kongsikan adalah:
- Jauhi sindrom "nanti orang lain kata apa" - kita kadang-kala melakukan (atau membeli) sesuatu kerana takut dicemuh oleh orang lain walaupun pada hakikatnya kita tidak perlu melakukan (atau membeli) perkara itu. Contoh: suruh anak puasa penuh 30 hari pada bulan puasa (tapi tak suruh solat 5 waktu) - sebab segan nanti saudara mara tanya anak puasa penuh ke tak pada hari raya, membeli set pinggan mangkuk mahal - beli sebab nanti tetamu datang kata pinggan tak cantik/murahan, buat majlis walimatul urus di tempat eksklusif - nak menjaga hati tetamu yang hadir.
- Kita sepatutnya berdoa dan bukannya 'membaca doa' - disebabkan kebanyakkan kita yang berbangsa melayu tidak fasih dgn bahasa arab, berdoa dalam bahasa melayu boleh memberikan impak yang berbeza kepada diri sendiri. Kadang kala apabila kita sekadar 'membaca doa' penghayatn tu kurang.
- Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita adalah rahmat. Yang baik itu rahmat, yang kita rasakan buruk juga suatu rahmat.
- Banyakkan bersenyum, nabi merupakan seorang yang sangat kuat bersenyum. Pernah suatu ketika yang mana nabi sedang makan keliling talam bersama para sahabat, aisyah berasa cemburu ketika itu pergi membalikkan talam tersebut dihadapan semua sahabat nabi. Tetapi nabi hanya tersenyum.
- 5 cara melafazkan cinta: (1) bahasa, iaitu kata-kata indah, (2) hadiah (3) sentuhan, (4) masa berkualiti bersama, dan (5)khidmat bantuan.
- Hidupkan amalan nabi di rumah; (1) kasih sayang [bersalaman, bersentuhan] (2) melaksanakan solat (3) doa mendoakan, dan (4) kata "salah saya", atau dalam erti kata lain mengalah dengan suami/isteri.
Wallahualam. Moga bermanfaat.
Mohon beri teguran sekiranya ada tersilap, silakan bertanya sekiranya kurang jelas, tiada salahnya utk berkongsi kpd yang lain. Andai ada tips-tips untuk mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga lain yang ingin dikongsi bersama, dengan segala hormatnya dipersilakan.